BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 19 Dis 2019 – Dua (2) kes aduan curi yang berasingan melibatkan kehilangan rim serta tayar kereta telah dilaporkan ke Balai Polis Pusat dan Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB). 

Siasatan pihak polis terhadap kedua-dua kes tersebut telah berhasil membuat penahanan terhadap 3 orang individu yang dipercayai terlibat dengan aktiviti jenayah berkenaan. 

Tiga suspek tempatan tersebut bernama Muhammad Azem Hazwan bin Abdul Razak 22 tahun, Mohd Shahrulddin bin Mohd Sopihan 18 tahun dan seorang lelaki berumur 16 tahun. 

Dalam kejadian pertama yang berlaku pada 24 September 2019 bertempat di kawasan premis perniagaan di Kampung Serusop, suspek dipercayai telah mengambil keempat-empat tayar kereta mangsa dan kemudian menyendal bahagian bawah kereta menggunakan batu-bata. 

Manakala dalam kejadian kedua pada 14 Oktober 2019, kecurian 4 rim serta tayar kereta turut berlaku di kawasan letak kereta Kampung Sungai Bunga. 

Kesemua suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan pihak mahkamah memutuskan hukuman terhadap:- 

1. Muhammad Azem Hazwan bin Abdul Razak hukuman penjara selama 8 minggu di Penjara Maraburong. 

2. Mohd Shahrulddin bin Mohd Sopihan direman di Penjara Maraburong sehingga sebutan kes seterusnya. 

3. Seorang lelaki di bawah umur dilepaskan ikat jamin mahkamah sehingga sebutan kes selanjutnya. 

PPDB menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan meletakkan kenderaan di tempat yang terang dan tidak membiarkannya di kawasan terpencil yang tidak mempunyai pengawasan disekitarnya. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​