BELAIT, 15 Februari 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Daerah Polis Belait telah menjalankan tiga Operasi Sepadu berasingan pada 15 Februari 2026 melibatkan sekatan jalan raya serta operasi pencegahan jenayah di beberapa lokasi sekitar Seria dan Kuala Belait dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan.

Operasi dimulakan pada sebelah petang dengan Sekatan Jalan Raya di dua lokasi berasingan iaitu di Kawasan Rasau By-Pass dan Lebuhraya Lumut. Operasi tersebut diketuai oleh Pegawai Lalulintas Daerah (DTO) Belait, DSP Mohammad Ruddy Mas-Sharhain bin Haji Sarbini dan melibatkan keanggotaan daripada beberapa balai polis di Daerah Belait bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain.

Sepanjang sekatan dijalankan, sebanyak 48 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas, majoritinya melibatkan kesalahan seperti memasang tabir, lesen mansuh, cukai jalan mansuh, pengubahsuaian plat lesen dan kesalahan menggunakan kenderaan persendirian bagi tujuan perniagaan tanpa permit sah. Turut serta dalam operasi ini ialah Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) yang mengesan tiga kesalahan di bawah Akta Imigresen Penggal 17 serta Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) iaitu kesalahan memiliki rokok dan vape di bawah Perintah Eksais 2006, manakala Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) tidak mengesan sebarang kesalahan.

Dan pada jam kira-kira 10 malam, satu lagi Operasi Sepadu Pencegahan Jenayah telah dijalankan di Spg 198, Barek 421 No. B7, Lorong 3 Selatan, Seria melibatkan 37 anggota PPDB yang diketuai oleh Pegawai Jenayah Daerah (DCO) Belait, DSP Mohd Izzuddin Hanis bin Haji Md Salleh bersama agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan. Dalam operasi tersebut, pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah menahan dua individu tempatan kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu kira-kira dalam 5.46 gram serta satu alat yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah terkawal, dan kedua-duanya telah dibawa untuk siasatan lanjut. Pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) turut mendapati satu karton rokok Era Black serta satu unit rokok elektronik. Semua barang tegahan telah dirampas untuk tindakan selanjutnya. 

Seterusnya, Operasi Sepadu Pencegahan Jenayah yang dijalankan pada jam 11.00 malam di rumah pekerja dikawasan Kampung Baru. Turut serta ialah pegawai dan anggota daripada Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED). Seramai 25 penghuni rumah pekerja berkenaan diperiksa dan hasil pemeriksaan mendapati dua kesalahan berkaitan pengesahan pasport oleh pihak JIPK serta satu kes memiliki barang tegahan iaitu 14 batang rokok tidak bercukai yang dikesan oleh JKED. Kesemua barang bukti telah dirampas untuk tindakan lanjut.

Ketiga-tiga Operasi Sepadu ini mencerminkan komitmen berterusan Daerah Polis Belait dalam memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang, membanteras penyalahgunaan dadah, kesalahan imigresen serta pelanggaran peraturan lalu lintas. Orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan bersama sentiasa terpelihara.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI