SUNGAI LIANG, Isnin 17 Feb 2020 – Keanggotaan Balai Polis Sungai Liang, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berhasil membuat penahanan ke atas dua orang lelaki tempatan berikutan maklumat yang diterima daripada orang awam mengenai kehilangan wang dari salah satu tabung Masjid di Masjid Sungai Liang, Daerah Belait.
Bertindak atas maklumat yang disalurkan, pada 16 Februari 2020 yang lalu telah didapati dua (2) orang suspek yang tidak dikenali telah masuk ke dalam masjid pada sekitar waktu tengah malam. Kedua suspek tersebut dipercayai memasukkan satu besi penyangkut pakaian yang dibengkokkan serta dilekatkan pelekat gam bagi tujuan untuk dimasukkan ke dalam salah satu lubang tabung masjid berkenaan. Sejurus mendapati kegiatan suspek berkenaan, Pihak Polis segera dihubungi bagi tindakan lanjut.

Suspek bernama Mohammad Khairul Anwar bin Mohd Sharji, 38 tahun dan Mohd Fauzilah bin Mohd Sharji, 42 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 380 (A) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu curi wang tabung dalam Masjid.
Hasil daripada sebutan kes, kedua-dua suspek telah ditahan reman di Penjara Maraburong sehingga 2 Mac 2020 bagi sebutan kes selanjutnya di Mahkamah Perantaraan.
PPDB memohon kerjasama masyarakat awam agar sentiasa menyalurkan apa jua bentuk maklumat yang berunsurkan jenayah ke talian kecemasan polis 993 ataupun melaporkan ke Balai-Balai Polis terdekat.
Berikutan kes ini, PPDB turut berterima kasih kepada orang awam atas perkongsian maklumat bagi sama-sama membebaskan masyarakat dan negara daripada kegiatan-kegiatan yang menyalahi dan melanggar peraturan undang-undang.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
