MUARA, Isnin 19 April 2020 – Dua kerosakan mesin kerusi urut di dalam sebuah kedai dobi layan sendiri kawasan Kg Serasa telah dilaporkan ke Balai Polis Muara, Pasukan Polis Diraja Brunei pada 13 Februari 2020. 

Hasil pemeriksaan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kedai tersebut, mendapati seorang lelaki telah menyungkit tempat penyimpanan wang mesin kerusi urut menggunakan benda tajam dipercayai gunting besi kecil dan menyerahkan wang yang diperolehi kepada seorang perempuan yang bersamanya di tempat kejadian. Sementara itu, hasil wang yang diperolehi sebanyak BND$17 digunakan untuk membeli barang makanan dan easi kad. 

Siasatan lanjut dijalankan hingga membawa penahanan terhadap dua orang suspek yang tidak mempunyai pekerjaan bernama Mohammad Shamrin bin Jumat berumur 32 tahun dan Norsidahwati binti Mohd Tuddin berumur 49 tahun. 

Kedua-dua suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 380 Curi di Dalam Bangunan dan Seksyen 426 Rosak Barang, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. 

Hasil daripada perbicaraan, pihak Mahkamah menjatuhkan hukuman kepada kedua-dua tertuduh dengan hukuman pemenjaraan selama 8 bulan bermula pada tarikh 20 April 2020. 

Pasukan Polis Diraja Brunei menegaskan kepada orang ramai agar bertindak lebih bijak dan mencari jalan lebih baik dalam mencari hasil mata pencarian agar tidak terdorong hingga terjemurus ke perlakuan jenayah demi kepentingan diri sendiri yang menyalahi undang-undang di negara ini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​