BRUNEI MUARA, Sabtu 5 Januari 2019– Balai Polis Sengkurong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menangkap dan menghadapkan 3 orang suspek ke muka pengadilan kerana terlibat dengan kes Curi Tabung Masjid dan kes curi besi.
Kesemua suspek telah ditahan di Balai Polis Sengkurong bagi menjalani siasatan dan telah dihadapkan ke Mahkamah Perantaraan, Bandar Seri Begawan pada 5 Januari 2019 bagi sebutan kes dan jatuh hukuman.
Tertuduh Pertama, Mohammad Akmal Arif bin Mohammad Alinor, 23 Tahun, warganegara tempatan dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama 21 bulan dan 2 kali sebatan atas 2 pertuduhan di bawah Seksyen 380A dibacakan dengan Seksyen 34 , Penggal 22 iaitu dengan niat yang sama melakukan curi di Masjid Kg Katimahar dan Seksyen 379 dibacakan dengan Seksyen 34, Penggal 22 iaitu melakukan curi penutup besi saluran longkang di Tapak Perindustrian Kampung Katimahar, Brunei Muara.
Tertuduh Kedua, Mohammad Adi Rahmatin Hafiz bin Moryadi, 23 tahun, warganegara tempatan dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama 16 bulan dan 2 kali sebatan atas tuduhan yang sama iaitu melakukan curi di Masjid Kg Katimahar.
Manakala tertuduh ketiga, Muhammad Haziq bin Jasni, 20 tahun, warganegara tempatan dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama 2 bulan kerana melakukan curi 2 besi penutup saluran longkang di kawasan tapak perindustrian di Kg Katimahar, Brunei Muara.
Tarikh hukuman bermula;
Tertuduh pertama : 12 Disember 2018
Tertuduh kedua : 29 November 2018
Tertuduh ketiga : 16 Disember 2018.
Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa berusaha membenteras dan mencegah serta tidak teragak-agak dalam mengambil tindakan undang-undang kepada sebarang individu yang melibatkan diri dalam apa jua kegiatan jenayah yang dilakukan di negara ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUSETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
