KUALA BELAIT, Khamis 16 April 2020 – Ketika mana seorang individu yang tidak dikenali sedang asyik memilih pakaian dalaman wanita yang dijemur di kawasan rumah, lantas dikejutkan oleh seorang penghuni rumah lalu segera memberkasnya setelah gerak-gerinya diperhatikan sejak dari awal perlakuannya.
Insiden berkenaan berlaku pada 15 April 2020 yang lalu di kawasan rumah kediaman di Pandan 1 Kuala Belait melibatkan seorang suspek lelaki warga tempatan bernama Mohd Sharin bin Mohd Johari berumur 27 tahun dan tidak bekerja.
Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) segera ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan berhubung penahanan seorang lelaki yang mencurigakan dipercayai cuba untuk melakukan perbuatan curi.
Semasa siasatan dijalankan, turut ditemukan ialah beberapa helai pakaian, pakaian dalaman serta tudung wanita dipercayai diperolehi daripada perbuatan curi di beberapa rumah kediaman di kawasan tersebut.

Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Curi.
Hasil daripada perbicaraan, tertuduh telah tidak mengaku bersalah dan pihak mahkamah telah menetapkan bagi sebutan kes selanjutnya pada bulan Mei yang akan datang.
PPDB amat tegas dan tidak akan teragak-agak dalam melaksanakan undang-undang yang diperuntukan bagi berusaha memastikan penduduk di negara ini sentiasa dalam keadaan aman dan sejahtera dari apa jua anasir-anasir negatif berbentuk jenayah.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
