BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 26 Oktober 2019 – Seorang lelaki warga tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan atas pertuduhan mencuri sebuah kenderaan bantuan jalanraya milik Syarikat Bengkel Kereta Berakas di kawasan Jalan Bengkurong pada 21 Oktober 2019.
Pihak Mahkamah menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama 24 bulan di Penjara Maraburong terhadap tertuduh Mat Sukrin bin Mohammad, 22 tahun, tidak mempunyai sebarang pekerjaan yang bermula pada tarikh 23 Oktober 2019.

Perolehan pengumpulan maklumat dan siasatan dari keanggotaan Balai Polis Pusat BSB menjelaskan semasa insiden berlaku suspek sedang menunggang sebuah basikal miliknya lalu mendapati sebuah kereta bantuan jalanraya sedang diletakkan di bahu jalan dengan enjin kereta yang masih hidup manakala pemandunya (mangsa) sedang membuat pengurusan bersama pelanggan.
Kesempatan terus diambil oleh suspek dengan meletakkan basikalnya dan terus sahaja meluru masuk ke dalam kereta mangsa dan memecut lari meninggalkan tempat berkenaan.
Menurut keterangan mangsa, pada waktu kejadian mangsa ada menggunakan sebuah kenderaan jenis Ford Ranger untuk membantu rakan mangsa yang mengalami kerosakan kereta di tepi jalan. Ketika mana pengurusan penundaan kereta rosak sedang diselenggarakan, tiba-tiba mangsa mendengar rempuhan bunyi besi dan mendapati kereta yang dipandunya tadi telah dibawa lari oleh suspek.
Kereta yang dicuri ditemui kembali diletakkan di kawasan Kampung Lumapas berdekatan dengan sebuah kedai runcit. Manakala suspek dapat dikesan di kawasan semak hutan yang berhampiran hasil daripada pencarian yang dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Kg Ayer.
Pasukan Polis Diraja Brunei menegaskan kepada masyarakat awam agar tidak sambil lewa terhadap keselamatan harta benda mereka sebaliknya perlu berwaspada dan memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan selamat sebelum ditinggalkan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
