KUALA BELAIT, Khamis 4 Jun 2020 – Seorang lelaki warga tempatan telah ditahan oleh pihak polis selepas terbabit dalam kegiatan mencuri seekor kambing yang dilaporkan hilang pada 28 Mei 2020. 

Pemilik kambing tersebut menyedari akan kehilangan kambing kepunyaannya apabila dimaklumkan oleh pekerjanya yang mana seekor kambing jantan yang diikat di luar kawasan kandang di Jalan Singa Menteri Kuala Belait telah hilang. 

Hasil siasatan yang dijalankan keanggotaan Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei berjaya mengesan seorang suspek bernama Hasbollah bin Husaini berumur 39 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan.  

Suspek juga mengakui mencuri seekor kambing menggunakan sebuah kereta Toyota Kijang lalu meninggalkan tempat kejadian dan seterusnya menjual kambing itu dengan harga BND $140 di sebuah kedai di kawasan Seria. 

Berikutan dengan penahanan suspek, pihak polis turut berjaya menemukan kembali kambing yang hilang dan kemudiannya diserahkan kepada pemiliknya. 

Pada 4 Jun 2020, suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. 

Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan ke atas tertuduh selama 4 bulan bermula 4 Jun 2020. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI