BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 24 November 2018 – Balai Polis Kg Ayer, Daerah Polis Brunei Muara telah berhasil menahan 3 orang suspek lelaki warga negara tempatan dipercayai terlibat dengan kes rosak barang serta curi kabel.

Ianya susulan daripada rakaman video yang tular di media sosial memaparkan 3 orang lelaki sedang memotong satu paip PVC yang dipercayai berisi wayar kabel kepunyaan Telbru yang berlaku di Kawasan bawah Jambatan Kayu Sungai Kebun berdekatan Balai Bomba Sungai Kebun, Bandar Seri Begawan.

Tiga (3) orang suspek tersebut, Mohd Shalan bin Samat 28 Tahun, Asnain bin Uting 39 Tahun dan Hj Zakaria bin Hj Tengah 47 Tahun telah ditangkap oleh anggota Balai Polis Kg Ayer dan telah di hadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan di bawah Seksyen 427 iaitu kesalahan merosakkan barang, Seksyen 379 iaitu kesalahan curi dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.

Kesemua tertuduh telah dibacakan tuduhan dan mereka tidak mengaku bersalah. Dalam pada itu, Pihak Mahkamah telah memerintahkan ketiga-tiga tertuduh di tahan reman di Penjara Maraburong sehingga 8 December 2018 bagi sebutan kes seterusnya.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI