BRUNEI MUARA, Khamis 18 Jun 2020 – Balai Polis Pusat telah menghadapkan seorang lelaki warga tempatan berumur 44 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan kerana dipercayai melakukan curi di rumah kediaman keluarganya sendiri dikawasan Jalan 77 Perpindahan Lambak Kanan.

Modus Operandi kes curi ini adalah dengan secara menyelongkar dan menyungkit pintu bilik tidur salah seorang keluarganya untuk melakukan curi wang sebanyak BND50.00 dan dengan memasukkan tangan ke jendela rumah yang tidak berkunci dan membuka pintu dari dalam untuk melakukan curi 6 biji tabung yang diletakkan di atas meja dan menyelongkar bilik tersebut sehingga mendapati barang lain seperti emas dan wang ringgit. 

Suspek tinggal bersama ahli keluarga yang melaporkan kejadian curi ini. Ahli keluarga pun mengesyaki suspek yang melakukan jenayah tersebut memandangkan suspek sudah beberapa kali melakukan jenayah dan ditangkap dan dipenjarakan dan melaporkan kejadian ini kepada pihak Polis.

Antara barang-barang yang dicuri adalah seperti rantai emas, gelang emas, tabung berisi wang syiling dan beberapa wang kertas mata wang Singapura dan Brunei kepunyaan keluarga. Barang-barang curi ini digunakan untuk membeli dadah dan rokok. Anggaran kerugian berjumlah BND 2150.

Setelah kes dibicarakan, mahkamah telah menjatuhkan hukuman 18 bulan pemenjaraan bermula 18hb Jun 2020 di bawah Seksyen 380, Curi Dalam Kediaman, Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI