BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa 5 Mac 2019  – Sejumlah 107 kepingan besi atap zink kepunyaan Sekolah Rendah Pengiran Anak Puteri Besar, Kg Peramu, Bandar Seri Begawan (BSB) telah hilang dan dipercayai telah dicuri. 

Berikutan kejadian tersebut, satu laporan telah dibuat di Balai Polis Kg Ayer, Daerah Polis Brunei dan Muara pada 5 Mac 2019 kira-kira jam 7.43 pagi berkenaan insiden berkenaan.  

Hasil daripada risikan dan siasatan yang dijalankan anggota Balai Polis Kg Ayer telah berjaya membuat serbuan di kawasan kediaman di Kg Bendahara Lama, Mukim Tamoi dan telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan dipercayai terlibat dengan kegiatan curi tersebut. 

Suspek bernama Muhammad Rezal bin Meyasin berumur 30 tahun beserta barang bukti dibawa ke Balai Polis Kg Ayer bagi siasatan lanjut. 

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Curi Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. 

Pasukan Polis Diraja Brunei ingin mengingatkan kepada orang ramai agar lebih peka dan berhati-hati apabila menerima tawaran jual beli barangan yang tidak diketahui sumber kesahihannya. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS  

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI