BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 15 April 2020 – Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menahan seorang lelaki warga Filipina kerana disyaki terlibat melakukan perbuatan curi di Pusat Pengasingan Kebangsaan, Tutong pada 10 April 2020 yang lalu.
Suspek bernama Jay Noel De Vera Gonzales berumur 40 tahun dan bekerja sebagai pembersih di Pusat Pengasingan tersebut.
Di samping itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian turut memaparkan kelibat suspek yang kerap kali memeriksa tong sampah yang berada di kawasan ‘decontamination’ dan kemudianya menukarnya dengan tong sampah yang lain di mana tersimpannya barangan curi iaitu satu beg sikut kepunyaan salah seorang individu yang menjalani pengasingan diri.

Kesemua barangan curi berhasil diperolehi semula dan dirampas untuk dijadikan bahan bukti.
Pada 15 April 2020, suspek dihadapkan ke Mahkamah Perantaraan, Bandar Seri Begawan bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 380A Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Melakukan curi di dalam tempat yang terkawal.
Hasil daripada sebutan kes, tertuduh telah mengaku tidak bersalah dan kes akan dibicarakan semula pada 29 April 2020.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati apabila meletakkan barang-barang persendirian atau yang berharga di tempat yang lebih selamat atau berkunci bagi mengelakkan berlakunya kecurian.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
