BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 21 Dis 2019 – Seorang lelaki tempatan yang didakwa dengan pertuduhan curi dan rosak barang telah dihadapkan ke Mahkamah Perantaraan, Bandar Seri Begawan hari ini.
Siasatan dari keanggotaan Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah membawa kepada penahanan suspek bernama Al-Amin bin Matasim berumur 32 tahun yang dipercayai terlibat melakukan kegiatan jenayah berkenaan di salah sebuah rumah kediaman di kawasan Jalan Pasir Kg Berakas pada awal bulan Disember tahun ini.
Daripada penemuan siasatan juga mendapati suspek telah dipercayai membuka jendela dapur yang berkunci menggunakan pemutar skrew lalu masuk melakukan curi beberapa barangan rumah termasuk peralatan barang kemas serta peti keselamatan yang mengandungi wang tunai dan anggaran kerugian berjumlah BND$25,000.00.


Hasil daripada perbicaraan, pihak mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara selama 32 bulan dan 2 kali sebatan atas dakwaan di bawah Seksyen 457 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 yang bermula pada tarikh 16 Disember 2019 di Penjara Maraburong.
Sehubungan itu, PPDB mengingatkan orang ramai untuk lebih berjaga-jaga dan meningkatkan langkah keselamatan terutama sekali semasa hendak meninggalkan rumah agar memastikan pintu dan jendela rumah berkunci dengan kunci yang kukuh, juga disarankan untuk memasang sistem penggera dan sistem kamera litar tertutup (CCTV) untuk tujuan pengawasan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
