BRUNEI MUARA, Sabtu 31 Ogos 2019 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis Pusat telah menerima satu laporan mengenai seorang lelaki dipercayai telah menceroboh dan mencuri serta merosakkan barang kerajaan yang dianggarkan berjumlah BND$20,000 di Kawasan Penjana Elektrik, Bangunan Adat Istiadat Negara.
Hasil siasatan mendapati suspek telah menceroboh masuk dengan menaiki pagar belakang kawasan Bangunan Adat Istiadat Negara seraya masuk ke kawasan penjana elektrik melalui lubang dinding aluminium kemudian merosakkan dan memotong kabel elektrik di dalamnya.
Semasa kejadian tersebut berlaku, 2 orang petugas sedang membuat pemeriksaan di kawasan berkenaan, mereka telah melihat kelibat suspek sedang bersembunyi di dalam semak dan terus melarikan diri. Suspek kemudian telah kembali semula masuk ke kawasan penjana elektrik tersebut bertujuan untuk mengambil barang peribadi yang tertinggal dan cuba untuk melarikan diri sekali lagi.
Suspek berjaya ditahan di kawasan Pos Opis Bandar Seri Begawan selepas insiden kejar mengejar berlaku dan kemudian diserahkan ke Pihak Polis bagi dijalankan siasatan lanjut.
Tertuduh bernama Azri bin Haji Husain, berumur 42 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan dan telah dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama 16 bulan di Penjara Maraburong bermula pada tarikh 31 Ogos 2019.
Pihak Polis ingin menyeru kepada orang ramai agar sentiasa memberikan kerjasama dalam menyalurkan apa jua maklumat bagi matlamat pembanterasan aktiviti-aktiviti jenayah di negara ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
