GADONG, Selasa 5 Mei 2020 – Seorang lelaki warga tempatan (suspek) telah ditahan kerana dipercayai memetik buah mangga di kawasan rumah kediaman Kg Menglait tanpa kebenaran.  

Insiden berkenaan berlaku pada 3 Mei 2020 sekitar jam 10 pagi, di mana seorang lelaki yang tidak dikenali telah memasuki ke kawasan persekitaran rumah mangsa dalam keadaan yang mencurigakan. 

Selang beberapa minit selepas itu, lelaki berkenaan didapati menggunakan satu besi panjang bertujuan untuk menjolok buah mangga kepunyaan tuan rumah. 

Tatkala asyik menjolok buah mangga tiba-tiba jiran tuan rumah datang menegur lelaki tersebut dan bertanyakan adakah ianya mendapat keizinan untuk mengambil buah tersebut. Selepas ditahan, lelaki itu cuba untuk melarikan diri tetapi berjaya dihalang oleh tuan rumah sehingga pihak polis datang. 

Balai Polis Pusat BSB, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) segera dihubungi bagi tindakan dan siasatan lanjut.  

Suspek bernama Muhammad Noramaluddin bin Salleh berumur 30 tahun tidak mempunyai sebarang pekerjaan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi menghadapi pertuduhan curi. 

Hasil daripada sebutan kes, tertuduh telah mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 Curi dan Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan ke atas tertuduh selama 2 minggu di Penjara Maraburong bermula pada 5 Mei 2020. 

PPDB mengingatkan kepada orang ramai agar sentiasa peka terhadap kawasan persekitaran dan juga tidak ada mendedahkan sebarang peluang kepada pelaku jenayah untuk mengambil kesempatan melakukan kegiatan-kegiatan negatif seperti curi atau pun pecah rumah. 

Meletakkan sebarang benda-benda tajam, peralatan pertukangan, tangga dan sebagainya di luar kawasan rumah merupakan elemen penarik perhatian penjenayah sebagai pemudah cara untuk melakukan aksi jenayah. 

Oleh itu, orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada agar perkara-perkara sedemikian tidak berlaku dan berleluasa seterusnya pelbagai tindakan perlu diambil untuk mengekang gejala jenayah daripada kehidupan seharian. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI