MUARA, Rabu 21 Ogos 2019 – Seorang lelaki warganegara tempatan ditahan pada 17 Ogos 2019 bagi menjalani siasatan terhadap satu kes curi di salah sebuah syarikat perniagaan di kawasan Perindustrian Serasa Muara.
Kejadian tersebut dilaporkan ke Balai Polis Muara pada 14 Ogos 2019 yang lalu melibatkan kehilangan harta benda milik syarikat berkenaan berupa besi-besian berjumlah 140 kepingan besi yang dianggarkan bernilai sebanyak BND$2000.00.
Suspek bernama Muhammad Khairusy Syakirin bin Haji Sirat, warganegara tempatan berumur 29 tahun bekas petugas Electrical Operator Technician telah ditahan dipercayai terlibat dengan kejadian tersebut.
Siasatan Pihak Polis mendapati suspek telah mengaku ada mengambil kepingan besi tersebut dan menjualnya kepada seseorang warga asing dengan harga BND$1 untuk 1 Kilogram yang keseluruhannya berharga BND$140 bertujuan untuk membayar hutang.
Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 381 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu kerani atau pengkhidmat mencuri harta milik tuannya.
Tertuduh mengaku bersalah dan telah dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama 11 bulan di penjara Maraburong bermula 21 Ogos 2019.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menyeru dan menasihatkan orang ramai untuk sentiasa memberikan kerjasama dalam memberikan maklumat mengenai sebarang kejadian yang berunsur jenayah kepada Pihak Polis bagi tindakan siasatan dan pendakwaan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
