KUALA BELAIT, Khamis 2 Mei 2019 – Pada 24 April 2019, Balai Polis Kuala Belait telah berjaya menahan 4 orang suspek dipercayai terlibat dengan kegiatan curi ke atas sebuah rumah yang tidak didiami di kawasan Jalan Dipa Negara Kuala Belait.
Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kesemua suspek yang terlibat telah memasuki rumah sasaran dan melakukan curi sebanyak beberapa kali di antara sekitar bulan Mei 2018 sehingga bulan Januari 2019.
Pihak Polis juga telah berhasil menemukan kembali sebahagian barangan yang telah dicuri dan kemudian dibawa ke Balai Polis Kuala Belait bagi dijadikan barang bukti dan siasatan lanjut.
Suspek-suspek berkenaan;
1 – Suspek pertama : Muhammad Muizz bin Abdul Manaf, warganegara tempatan berumur 18 tahun dan tidak bersekolah/bekerja.
2 – Suspek kedua : Maslan bin Ibrahim, warganegara tempatan berumur 45 tahun dan tidak bekerja.
3 – Suspek ketiga : Mohammad Ariffin bin Abdullah, warganegara tempatan berumur 42 tahun dan tidak bekerja.
4 – Suspek keempat : Mohammad Farrendi bin Matyassin, warganegara tempatan berumur 42 tahun dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
Kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 25 April 2019 bagi sebutan kes dan pihak Mahkamah telah meluluskan permohonan bagi menjalani tahanan reman bagi siasatan lanjut sehingga 29 April 2019.
Pada 29 April 2019, kesemua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Kuala Belait bagi dibacakan tuduhan dan pengakuan diambil. Kesemua tertuduh telah mengaku bersalah dan hukuman akan dijatuhkan pada 2 Mei 2019.
Pada hari ini 2 Mei 2019, pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman ke atas kesemua tertuduh di bawah Seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Curi dalam Bangunan.
Tertuduh pertama : Muhammad Muizz bin Abdul Manaf dijatuhi hukuman penjara selama 8 bulan.
Tertuduh kedua : Maslan bin Ibrahim dijatuhi hukuman penjara selama 8 bulan.
Tertuduh ketiga : Mohammad Ariffin bin Abdullah dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan.
Tertuduh keempat : Mohammad Farrendi bin Matyassin dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan.
Hukuman pemenjaraan bermula pada 29 April 2019 di Penjara Maraburong.
Di kesempatan ini, Pasukan Polis Diraja Brunei ingin mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah keselamatan agar rumah sentiasa dalam keadaan terkawal dan sedikit sebanyak menghalang dan tidak memberi kesempatan kepada penjenayah untuk melakukan aktiviti aktiviti yang negatif.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
