BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa 4 Dis 2019 – Balai Polis Pusat, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menerima aduan kecurian sebuah basikal pada 4 September 2019 yang berlaku di kawasan belakang kedai, Bangunan Setia Kenangan 2, Kampung Kiulap. 

Hasil bantuan daripada penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tempat kejadian telah membawa kepada tertangkapnya suspek bernama Shahroon bin Haji Sulaiman, warga tempatan, berumur 42 tahun dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan. 

Daripada siasatan pihak polis menjelaskan, tertuduh menemukan basikal yang dicuri dalam keadaan tidak berkunci dan telah digunakan oleh suspek untuk membawa tin-tin kosong ke tempat jualan besi buruk untuk dijual dan kemudiannya berniat untuk menjual basikal yang tercuri tersebut. 

Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada hari ini 4 Disember 2019 bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 379 dibacakan dengan Seksyen 75 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. 

Dalam pada itu, keputusan Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh dengan pemenjaraan selama 16 bulan di Penjara Maraburong bermula pada 4 Disember 2019. 

PPDB ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan jangan leka apabila meletakkan barangan berharga tanpa sebarang kawalan dan penjagaan. Jangan biarkan penjenayah mengambil peluang dan kesempatan untuk melakukan apa jua jenayah yang berpunca daripada kecuaian sendiri. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI