BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 14 Sept 2019 – Balai Polis Muara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima satu laporan kes melibatkan kehilangan beberapa barangan makanan dipercayai dicuri di salah sebuah premis perniagaan di kawasan Kg Mentiri yang berlaku pada 2 November 2018 yang lepas.
Hasil daripada siasatan pihak polis menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi daripada premis tersebut mendapati adanya kelibat 2 orang suspek lelaki dan perempuan mengambil empat (4) botol ‘Nutella’ daripada rak barangan lalu memasukkannya ke dalam beg tanpa membuat sebarang pembayaran.
Melalui pemantauan dan siasatan telah berhasil membuat penahanan ke atas dua (2) orang suspek berkenaan yang merupakan warga tempatan.
Suspek pertama bernama Haji Ardi bin Haji Tuah berumur 43 tahun dan tidak bekerja manakala suspek kedua Norasmah bte Asali berumur 36 tahun juga tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
Pada 14 September 2019, kedua-dua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu melakukan curi di dalam bangunan (kedai).
Kedua-dua tertuduh telah mengaku bersalah dan Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak $500 atau di penjara selama sebulan jika gagal membayar denda.
PPDB menyarankan kepada orang ramai untuk tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah dan sentiasa berpikir panjang akan akibatnya pada diri sendiri mahupun pada keluarga.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
