BERAKAS, Selasa 21 April 2020 – Dua (2) kejadian curi di dalam kedai telah berjaya dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dua (2) buah kedai yang berasingan di kawasan Kg Sg Akar dan Kg Jerudong. 

Menerusi 2 rakaman CCTV tersebut telah memperlihatkan kelibat seorang lelaki yang tidak dikenali telah dipercayai mengambil beberapa produk makanan tin di kedai tersebut seperti Sardin, Corned Beef dan Sotong lalu meninggalkan kedai tanpa membuat sebarang pembayaran. 

Suspek merupakan seorang lelaki warganegara tempatan bernama Abdul Hadzi bin Haji Kula berumur 32 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan ditahan oleh Keanggotaan Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan berkenaan. 

Siasatan lanjut terhadap penyiasatan kes ini mendapati tujuan suspek melakukan curi keatas barangan makanan adalah untuk dijual kembali dan hasilnya untuk membeli makanan keperluannya serta dadah. 

Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 21 April 2020 dan telah dibacakan pertuduhan ke atasnya di bawah Seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 kerana melakukan curi di dalam premis perniagaan.  

Tertuduh telah mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman pemenjaraan selama 12 bulan di Penjara Maraburong bermula pada tarikh 21 April 2020. 

Dengan kelebihan teknologi yang ada pada ketika ini diharap dapat membantu lagi pihak polis dalam mengesan aktiviti-aktiviti jenayah dengan lebih mudah dan berkesan.  

Di samping itu juga, PPDB mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama orang ramai dalam sama-sama menjaga keamanan serta keharmonian negara ini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​