BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa 30 April 2019 – Balai Polis Kuala Belait telah menerima satu panggilan aduan kes daripada seorang pekerja kedai Guardian di kawasan Pekan Belait pada 28 April 2019 mengenai kejadian curi yang melibatkan seorang suspek wanita.
Bertindak dengan laporan tersebut, keanggotaan Balai Polis Kuala Belait dan Skuad Tindakan Segera (STS) Belait hadir di tempat kejadian bagi menjalankan siasatan serta membuat penahan ke atas suspek berkenaan.
Suspek merupakan seorang wanita warganegara tempatan bernama Norlela binti Kamarul, 26 tahun dan tidak bekerja. Suspek dipercayai telah memasuki kedai berkenaan dan mengambil barangan kosmetik yang berjumlah BND$173.78 bertujuan untuk dijual semula.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Curi di dalam Bangunan.
Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 30 April 2019. Hasil daripada sebutan kes, pihak Mahkamah telah menetapkan bagi tertuduh ditahan reman di Penjara Jerudong sehingga 2 Mei 2019 bagi perbicaraan selanjutnya.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling masing-masing dan melaporkan sebarang aktiviti-aktiviti yang mencurigakan kepada pihak polis sama ada melalui talian kecemasan polis 993 atau pun mana-mana balai polis yang berdekatan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
