BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin 6 Jan 2020 – Berikutan tiga aduan yang dilaporkan ke Pihak Polis, Balai Polis Pusat BSB, Pasukan Polis Diraja Brunei telah menjalankan siasatan sehingga berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan yang tidak bekerja bernama Abdul Qayyuum bin Haji Mohd Rahim berumur 29 tahun. 

Hasil siasatan awal pada kejadian pertama  pada 15 April 2019, suspek dipercayai telah memasuki kawasan petak jualan ‘The Coffee Bean & Tea Leaf’ di Hospital R.I.P.A.S dan dipercayai ada mengambil satu unit Speaker berwarna putih serta duit syiling di dalam mesin juruwang berjumlah lebih kurang BND$5.00.  

Manakala pada kejadian kedua yang berlaku pada 1 Januari 2020, suspek ada dipercayai masuk ke Restoran Foodzone, Yayasan SHHB Kompleks lalu mengambil satu mesin juruwang yang diletakkan di kaunter jualan dan membawanya ke tandas lalu membuka mesin tersebut menggunakan pemutar skru dan mengambil wang kertas berjumlah BND$4.00 serta wang syiling berjumlah BND$17.00.   

Kejadian terakhir berlaku pada sekitar waktu subuh 2 Januari 2020 di mana suspek dipercayai telah pergi berjalan-jalan di dalam Bangunan Yayasan SHHB di tingkat laras bawah lalu terserempak dengan pengawal bangunan dan ditahan serta dibawa ke bilik pengawal untuk diambil maklumat suspek dan diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut. 

Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan pada 6 Januari 2020 bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 379 dan 447 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan hasil sebutan kes pihak mahkamah telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama 8 bulan di Penjara Maraburong bermula 6 Januari 2020. 

Pasukan Polis Diraja Brunei mengingatkan kepada orang ramai jika ada mendapati dan mengesyaki orang-orang yang mencurigakan sila laporkan kepada pihak Polis untuk sebarang tindakan lanjut. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​