BERAKAS, Rabu 15 April 2020 – Keanggotaan Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menahan seorang lelaki yang telah bertindak membuat kacau dengan menggunakan sebilah pisau berlaku di kawasan gedung perniagaan Kg Serusop. 

Siasatan awal pihak polis mendapati pada hari kejadian 20 Mac 2020, suspek telah datang ke tempat kerja teman wanitanya iaitu di sebuah Pusat Penjagaan Kesihatan (SPA) dalam keadaan marah sambil memegang sebilah pisau di tangan kiri suspek serta memaksa dan menarik tangan mangsa untuk dibawa balik ke rumah.  

Menurut siasatan lanjut, suspek tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan telah tinggal lebih masa di negara ini sejak 2015.  

Suspek merupakan seorang warganegara Filipina bernama Keister Jay Dela Cerna Legaspi berumur 22 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi menghadapi 3 pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22, Seksyen 29 (1) Akta Ketenteraman Awam Penggal 148 dan di bawah Seksyen 15(1) Akta Imigresen.  

Suspek mengaku bersalah ke atas semua pertuduhan dan disabitkan hukuman serentak iaitu penjara selama 1 tahun dan 3 kali sebatan bermula pada 28 Mac 2020 di Penjara Maraburong. 

Pasukan Polis Diraja Brunei menegaskan masyarakat awam supaya tidak bertindak melulu dalam mengikut perasaan dan emosi tanpa memikirkan akibat dan keburukannya yang boleh merosakkan kehidupan masa depan serta menghancurkan institusi kekeluargaan. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​