JUMAAT, 28 Ogos 2020 – Perhubungan yang rapi dan erat adalah diutamakan bagi memantapkan hubungan antara Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Pengawasan Kejiranan (PK). Ini adalah amat penting dalam menjayakan program Pengawasan Kejiranan ke arah matlamat yang tepat dan fokus kepada keamanan dan kesejahteraan kehidupan bermasyarakat.
MUARA – Aktiviti rondaan yang dijalankan pada waktu malam di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kg Meragang telah dihadiri oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Muara, Penolong Penguasa Polis Percubaan (P/ASP) Hajah Nur Azhani bte Hj Johaini bersama 22 orang keanggotaan balai berkenaan.
Rondaan telah menyusuri di beberapa kawasan seperti Jln Kemangsi sehingga ke kawasan Jln Wasai Limuru dihadiri oleh 4 orang ahli PK diketuai oleh Pmk Ketua Kg Kapok & RPN Kg Meragang, Yang Mulia Pg Hj Ibrahim bin Pg Hj Timbang.
Di samping itu, beberapa perkara turut disampaikan sebelum rondaan dijalankan yang menyentuh mengenai kemasukan ahli-ahli PK baharu serta penerangan ringkas mengenai objektif PK dalam bersama-sama membantu masyarakat kampung ke arah pembanterasan jenayah.
KUALA BELAIT – Kg Pandan juga menjadi lokasi tumpuan terhadap rondaan PK yang dikendalikan oleh Balai Polis Kuala Belait. Dua (2) rondaan telah dikendalikan oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Kuala Belait, Inspektor Md Bahren bin Haji Abd Ghani bersama keanggotaan balai bersama ahli-ahli PK Pandan A dan B.
Rondaan pertama bersama Pmk Ketua Kg Pandan B, Yang Mulia Morney bin Amat. Manakala rondaan kedua bersama Pmk Ketua Kampung Pandan A, Yang Mulia Haji Sulaiman bin Udin.
Rondaaan dimulakan dengan sesi taklimat mengenai objektif rondaan dan langkahlangkah keselamatan sebelum rondaan. Tumpuan kedua-dua kampung menjurus kepada rondaan di kawasan premis perniagaan, bangunan komersil, kawasan sekolah sehingga kawasan rumah kediaman.
SENGKURONG – Dorongan dalam menjalankan aktiviti PK agar sentiasa bergiat aktif merupakan antara intipati penerangan taklimat yang diberikan oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Sengkurong, Inspektor Pg Mohd Noorhasni bin Pg Haji Omar sebelum rondaan PK dijalankan di kawasan Kg Mulaut dan Sengkurong A.
Penglibatan Pmk Penghulu Mukim Kampung Sengkurong A, Yang Mulia Dr Haji Abdullah Hanif bin OKMD Haji Saman bersama ahli PK yang lain merealisasikan lagi objektif PK bagi bersama-sama masyarakat memikul tanggungjawab terhadap pencegahan dan penbanterasan jenayah.
BANDAR SERI BEGAWAN – Kesatuan dan pemedulian kepada masyarakat kampung antara matlamat yang ditanai oleh Pihak Polis dalam mewujudkan satu gabungan yang serasi melalui program pengawasan kejiranan yang diperkenalkan.
Satu gabungan aktiviti pendekatan dan rondaan telah berlangsung melibatkan PK Balai Polis Pusat dan PK Balai Polis Kampong Ayer yang diketuai oleh Inspektor Mohd Salman bin Muhd Sima Al-Islam, Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Kg Ayer bersama Yang Mulia Awang Haji Tarip bin Haji Asgar, Pemangku Ketua Kg Tamoi Tengah/Tamoi Ujong.
Aktiviti pendekatan dan rondaan ini bertujuan untuk pemberigaan serta mewujudkan sifat kewaspadaan di kalangan masyarakat awam agar lebih peka dan celik terhadap keadaan dan situasi yang berlaku di persekitaran kediaman mahupun perkampungan.
Di sepanjang rondaan yang dijalankan di kesemua daerah tidak ada menemukan sebarang kejadian mahupun perkara-perkara yang melibatkan pelanggaran perundangan negara ini. Aktiviti sedemikian akan sentiasa diteruskan dan dijalankan dari masa ke masa bagi menghalang sebarang perilaku jenayah dan sekaligus mengurangkan kadar melibatkan jenayah.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
