BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat 25 Oktober 2019 – Sebuah bilik yang mengendalikan aktiviti perjudian haram yang beroperasi di alamat No 15A Simpang 618 Kampung Bunut, Kilanas digempur dan menyaksikan seramai 11 orang kaki judi ditahan menerusi serbuan yang dijalankan pada tengah malam 25 Oktober 2019. 

Serbuan dijalankan hasil koliberasi Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat beserta Unit Siasatan Pecah Rumah dan Curi Kereta, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berjaya menahan kesemua kaki judi yang berusia antara 35 hingga 50 tahun. 10 orang suspek lelaki warga asing dan seorang (1) penduduk tetap. 

Serbuan tersebut melibatkan permainan perjudian jenis Katam-katam dan sejumlah wang tunai dipercayai hasil daripada perjudian haram turut dirampas beserta peralatan-peralatan perjudian. 

Kesemua suspek dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah bagi dijalankan siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28. 

Kegiatan perjudian yang dikendalikan tidak akan menunjukkan impak positif terhadap pembangunan masyarakat bahkan lebih parah dan mendatangkan kesan negatif sekaligus menjadikan masyarakat mengamalkan nilai-nilai yang tidak baik dalam kehidupan seharian mereka. 

Oleh itu, PPDB menegaskan kepada masyarakat awam bahawa mengendalikan kegiatan perjudian adalah ditegah sama sekali bahkan ianya menyalahi undang-undang. 

PPDB juga akan berterusan membuat pemantauan serta risikan bahkan mengambil tindakan sewajarnya kepada setiap kegiatan jenayah yang dilakukan di negara ini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI