Bangkok, Thailand, 12 November 2025 – Bengkel Penyebaran bagi Buku Panduan Kerjasama Perundangan Antarabangsa ASEAN (ILC) dan Kompendium ILC ASEAN telah berlangsung pada 12 November 2025 di Bangkok, Thailand.

Bengkel ini dianjurkan bersama oleh Senior Officials Meeting on Transnational Crime (SOMTC), diketuai oleh Voluntary Lead Shepherd SOMTC dari Filipina, dengan sokongan daripada Kerajaan Australia melalui ASEAN–Australia Counter Trafficking (ASEAN-ACT) serta United Nations Office on Drugs and Crime – Regional Office for Southeast Asia and the Pacific (UNODC ROSEAP).

Bengkel ini merupakan susulan kepada siri bengkel terdahulu yang telah diadakan pada Mac dan Disember 2024 serta Mei 2025, yang bertujuan menangani cabaran dalam Kerjasama Perundangan Antarabangsa (ILC) bagi memperkukuhkan tindak balas terhadap kes Pemerdagangan Orang (TIP) di rantau ASEAN.

Bengkel ini turut dihadiri oleh peserta dari setiap Negara Anggota ASEAN (AMS), termasuk delegasi Brunei Darussalam yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pejabat Peguam Negara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, bersama wakil-wakil SOMTC, Pihak Pusat Autoriti dan Pejabat Pendakwa Raya/Peguam Negara dari negara-negara lain.

Penyertaan Brunei Darussalam dalam bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan negara untuk mengukuhkan kerjasama serantau dalam menangani jenayah pemerdagangan orang. Melalui perkongsian pengetahuan, amalan terbaik dan instrumen perundangan, kami bersedia meningkatkan keberkesanan penyiasatan, pendakwaan dan perlindungan mangsa secara lebih menyeluruh.

PHOTO-2025-11-15-10-34-24 2.jpg

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI