BANGAR, Selasa, 26 Februari 2025 – Daerah Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengungkayahkan Bengkel Fardhu Kifayah: Pengurusan Jenazah Lelaki & Wanita di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong. 

Kursus ini dikendalikan oleh Imam masjid berkenaan, Awang Noriezam Bin Zaini, bersama Bilal, Awang Haji Mohd Fairuz Bin Haji Suhaile. Seramai 32 peserta yang terdiri daripada pegawai dan anggota Polis Daerah Temburong, termasuk Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong, DSP Shamsulariffin Bin Haji Abdul Wahab, telah menghadiri bengkel ini. 

Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman serta kemahiran peserta dalam melaksanakan pengurusan jenazah dengan betul mengikut tuntutan syariat Islam. Peserta didedahkan dengan aspek teori dan praktikal, termasuk cara memandikan, mengafankan, menyembahyangkan, serta mengebumikan jenazah dengan sempurna. 

Bengkel diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan kepada peserta bengkel serta cenderahati kepada wakil masjid sebagai tanda penghargaan. Diharapkan penganjuran bengkel seperti ini dapat terus diperkasakan agar lebih ramai pihak mendapat manfaat, sekaligus meningkatkan kecekapan anggota PPDB dalam mengendalikan urusan fardhu kifayah dalam komuniti. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI