TEMBURONG, Rabu 23 Sept 2020 – Balai Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berhasil merampas sejumlah 96 botol minuman keras di kawasan Kg Bokok, Daerah Temburong. 

Penemuan berkenaan adalah hasil daripada rondaan dan pemantauan yang dijalankan oleh keanggotaan balai di kawasan penurunan perahu Kg Meniup, Daerah Temburong pada 22 September 2020 sekitar jam 5.15 petang. 

Sebuah kenderaan yang mencurigakan berdaftar dengan nombor pendaftaran negara ini ditahan bersama pemandu seorang lelaki warga tempatan. 

Sejurus menjalankan pemeriksaan telah mendapati beberapa bungkusan bewarna hitam yang mencurigakan dipercayai barangan tegahan diletakkan di tempat duduk penumpang belakang dan bonet kereta. 

Turut ditemukan satu peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyalahgunaan dadah. 

Suspek beserta kenderaan dibawa ke Balai Polis Temburong untuk dijalankan siasatan awal. Seterusnya suspek bersama barang bukti dan kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) untuk siasatan lanjut. 

Sehubungan dengan itu, PPDB menegaskan masyarakat awam agar tidak terlibat dengan kegiatan barang tegahan seludup yang mana jika tidak ditangani dengan segera, ianya dapat menjejaskan keselamatan, keharmonian dan gaya hidup masyarakat.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI