TEMBURONG, Khamis 18 Disember 2024 – Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berhasil menemui barang tegahan di Kampong Negalang, Daerah Temburong melalui Operasi Pencegahan dan Pemantauan.
Pada kira-kira jam 7.00 malam, Pegawai dan anggota-anggota daripada Balai Polis Bangar bertindak untuk memantau kawasan semak di tempat penurunan Negalang dan didapati sebuah kenderaan SUV yang mencurigakan ditinggalkan ditempat kejadian.
Sejurus itu, pemeriksaan lanjut dibuat dan ditemui bungkusan kotak besar tersimpan didalam kenderaan berkenaan yang mana ianya berisi barang tegahan. Sebanyak 10 karton minuman keras dan 75 karton rokok berhasil dirampas.
Penemuan barang tegahan bersama kereta tersebut dibawa ke Balai Polis Bangar dan diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan dan siasatan selanjutnya.
PPDB ingin menyeru kepada orang ramai, jika mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah atau yang mencurigakan, sila salurkan ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi talian kecemasan 993.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
