PANAGA, Jumaat, 13 Februari 2026 – Balai Polis Panaga telah menganjurkan Kempen Bergotong-Royong Membersihkan Kubur di Pusara An-Naem Anduki sebagai persediaan menyambut kedatangan bulan suci Ramadhan Al-Mubarak yang bakal menjelang.
Hadir Pegawai Menguasa Balai (OCS) Balai Polis Panaga, P/ASP Pengiran Muhammad Azam Syukri bin Pengiran Haji Ali Shahrun bersama pegawai dan anggota Balai Polis Panaga. Turut serta Ketua Kampong Panaga B, Mohd Ariffin bin Abdullah dan Ketua Kampong Panaga C, Khairul Abidin bin Mohd Yassin, lima orang ahli Pengawasan Kampung (PK), Gabungan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Panaga serta ahli Persatuan Pengakap Daerah Belait.
Antara pengisian aktiviti termasuk kerja-kerja membersihkan kawasan pusara, memotong rumput, mengutip sampah serta memastikan persekitaran kubur berada dalam keadaan bersih, kemas dan teratur. Usaha ini bukan sahaja sebagai persediaan menjelang Ramadhan, malah sebagai tanda penghormatan terhadap mereka yang telah kembali ke rahmatullah.



Penganjuran kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar di samping mengukuhkan hubungan silaturahim serta kerjasama erat antara pihak polis dan masyarakat setempat. Inisiatif seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan PPDB dalam mendekati masyarakat melalui aktiviti kemasyarakatan serta memupuk semangat berganding bahu demi kesejahteraan dan keharmonian bersama.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
