BRUNEI MUARA, Khamis 2 Jan 2020 – Seorang anak damit perempuan yang baru lahir dengan berat badan 680 gram telah ditemui pada petang kelmarin 1 Januari 2020. Anak damit tersebut didapati dalam keadaan bogel hanya berbalut dengan tuala dan diletakkan di atas kotak di kawasan stesen elektrik Lebuh Raya Muara Tutong, berikutan dengan insiden penemuan tersebut,  Balai Polis Muara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) segera dimaklumkan bagi tindakan mengenainya. 

Pemeriksaan perubatan ke atas anak damit perempuan itu segera dijalankan dan pada masa ini anak damit berkenaan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Anak Damit di Hospital R.I.P.A.S. Bandar Seri Begawan dan sekarang berada dalam keadaan stabil.   

Kes ini diambil alih terus oleh ke Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk siasatan lanjut. Sehubungan itu, Jabatan Pembangunan Masyarakat juga telah dimaklumkan bagi keperluan kesejahteraan dan kebajikan anak damit tersebut. Tiada penangkapan telah dibuat setakat ini berkaitan dengan kes ini.   

PPDB meminta kerjasama dari orang ramai untuk memberikan apa-apa maklumat yang boleh membantu penyiasatan kes ini. Orang ramai boleh menghubungi Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak ditalian 2459500 sambungan 496 dan juga boleh menghubungi ke ; 

1- Talian Kecemasan Polis 993. 

2- Melaporkan ke Balai-Balai Polis berdekatan. 

3- Menyalurkan maklumat ke Laman Sesawang www.police.gov.bn 4- Mesej terus ke Instagram @upa.ppdb 

Kes ini adalah kes pembuangan anak damit pertama yang dilaporkan pada tahun ini dan kes kedua yang dilaporkan dalam masa sebulan. 

Kes sebelumnya adalah kes penemuan anak damit lelaki seberat 3.45kg di Jalan Pasai Sengkurong yang dilaporkan pada 18 Disember 2019. Pihak Polis melalui Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, JSJ telah berjaya menjalankan siasatan di mana suspek telah berjaya dikesan dan dikenalpasti. Pihak Polis ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat atas bantuan yang diberikan. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​