Jumaat, 16 Ogos 2019 – Hidup berjiran merupakan antara aspek penting dalam kehidupan bermasyarakat. Tidak dinafikan, bagi mewujudkannya memerlukan keperihatinan secara holistik serta sikap tanggungjawab yang tinggi yang perlu dipupuk di dalam diri individu itu sendiri.  

Tuntasnya, semangat kejiranan mendatangkan banyak manfaat dalam kesatuan, hubungan silaturahim, sikap pemedulian serta membantu dalam aspek-aspek keselamatan. 

Pengawasan Kejiranan (PK) anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) merupakan platform bagi masyarakat bersama Pihak Polis menyumbang bakti dalam tanggungjawab menjaga kampung di bawah tadahan masing-masing. Sehubungan itu beberapa buah kampung telah ikut serta bagi menjalankan aktiviti rondaan bertujuan untuk menjaga keselamatan kampung mereka. 

BENGKURONG – Seramai 23 orang terdiri daripada keanggotaan Unit Pengawasan Kejiranan (UPK) Balai Polis Pusat, UPK Balai Polis Limau Manis, ahli PK Kg Bengkurong serta ahli PK Kg Limau Manis mengendalikan rondaan pencegahan jenayah di kawasan persekitaran dan sepanjang persimpangan 66 Kg Bengkurong. Turut hadir ialah Ketua Kg Bengkurong Yang Mulia Awang Haji Talib bin Haji Bakar dan Pemangku Ketua Kg Masin Yang Mulia Moksin bin Haji Kamis. 

TEMBURONG – Rondaan pencegahan turut dikendalikan di kawasan Kg Buda-Buda, Temburong. Mengetuai rondaan Pegawai Menguasa Balai Polis Bangar, Penolong Penguasa Polis (ASP) Pengiran Anak Haji Azanuddin Aman Shah bin Pengiran Anak Ismail Al-Haj bersama 9 anggota balai dan 10 ahli PK yang dihadiri oleh Yang Mulia Mohd Afnan bin Haji Gapor, Pmk ketua Kg Belais dan Kg Buda-Buda. 

SERIA – Barek Lorong 3, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lorong Tengah serta Sekolah Rendah Pengiran Setia Negara Lorong 3 Seria merupakan tumpuan rondaan bagi ahli-ahli PK bersama keanggotaan Balai Polis Seria. Mengetuai rondaan Penolong Menguasa Balai Polis Seria, Inspektor Percubaan (P/Insp) Boniface Ak Janlita serta penglibatan 7 ahli PK Lorong 3 Seria yang dipimpin oleh Ketua Kg Yang Mulia Haji Saidin bin Haji Ibrahim. 

DANAU – Sebanyak 6 lokasi di kawasan Kampung Danau telah dijalankan rondaan pencegahan oleh keanggotaan Balai Polis Lamunin bersama ahli-ahli PK Kg Danau. Ikut serta menjalankan rondaan seramai 9 anggota balai yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Lamunin, Inspektor Muhd Zulfadli bin Haji Muhd Yusof dan 6 ahli PK dihadiri oleh Pemangku Ketua Kampung Danau Yang Mulia Awang Haji Abdullah bin Haji Md Tahir. 

Hasil daripada kesemua rondaan yang dijalankan tidak ada menemukan sebarang kegiatan mahupun aktiviti-aktiviti yang melanggar peraturan undang-undang di negara ini.  

Penglibatan masyarakat amat diharapkan dalam sama-sama mengambil inisiatif, kerjasama serta berganding bahu dalam hala tuju negara bebas jenayah. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI