BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 30 November 2025 – Satu Aktiviti Riadah Berbasikal ‘Ceria, Cergas dan Sihat Berbasikal’ telah diadakan bersama Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) di Bandar Seri Begawan semasa program ’Bandarku Ceria’ berlangsung.
Aktiviti berkenaan dimeriahkan dengan penglibatan Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI serta Ahli-Ahli PEKERTI daripada tujuh cawangan lain, termasuk isteri pegawai dan isteri anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB). Turut menghadiri aktiviti ini adalah Yang Di-Pertua PEKERTI, Yang Mulia Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong dan Pengerusi Badan Sukan PEKERTI, Yang Mulia Supt. Gina See Yok Gan.
Aktiviti Riadah Berbasikal ini didahului oleh Yang Di-Pertua PEKERTI, bermula dari Balai Polis Bandar Seri Begawan dan seterusnya mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh 10 kilometer, lalu menuju ke Jalan Jabatan Perdana Menteri yang kemudiannya berakhir di tempat permulaan.
Adapun aktiviti ini adalah merupakan salah satu program bagi menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan ahli PEKERTI melalui senaman riadah berbasikal. Ianya juga adalah bagi mengukuhkan semangat kebersamaan dan kerjasama Ahli-Ahli PEKERTI, termasuklah menyokong inisiatif pihak kerajaan melalui program Bandarku Ceria dalam mewujudkan masyarakat yang cergas dan sejahtera.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
