AHAD, 9 Ogos 2020 – Penerapan Program Pengawasan Kejiranan (PK) adalah salah satu platform kerjasama pihak polis dan masyarakat dalam sama-sama menjaga keamanan dan keselamatan setempat.  

Untuk memastikan Pengawasan Kejiranan dapat terus berfungsi dengan berkesan, pelbagai program diatur termasuk menjalin kesefahaman dengan pihak polis dalam menjalankan aktiviti kebajikan, pendekatan dan rondaan pencegahan jenayah. 

Bersempena dengan sambutan majlis ibadah korban anjuran PPDB, keanggotaan Balai Polis Berakas dan Balai Polis Kg Ayer yang diketuai oleh Inspektor Haji Abu Bakar bin Haji Abdul Rahman selaku Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Berakas telah mengagihkan daging-daging korban kepada penerima-penerima yang berhak menerima di Kawasan 1 dan Kawasan 3 RPN Kg Rimba, Mukim Gadong A. 

Turut hadir ialah Inspektor Mohd Salman bin Abdullah Sima Al-Islam selaku Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Kg Ayer disertai oleh Pemangku Ketua Kg Kawasan 3 RPN Rimba, Pengiran Haji Hashim bin Pengiran Ismail dan Pemangku Ketua Kg Kawasan 1 RPN Rimba, Awang Haji Adanan bin Taha @ Awang Mohamad. 

Selain itu, usaha ini bukan sahaja melalui aktiviti kebajikan dan sosial tetapi merangkul kepada pendekatan ke rumah-rumah ketua kampung. 

Mengetuai rombongan pendekatan ke rumah kediaman Pemangku Ketua Kg Lepong Baru, Ambol Anak Bakit dan Haji Moslim bin Haji Salleh selaku Pemangku Ketua Kg Perpindahan Rataie, Kg Rataie dan STKRJ di bawah tadahan Mukim Bokok ialah Penolong Penguasa Polis (ASP) Pg Anak Haji Azanuddin Aman Shah bin Pg Anak Ismail Al-Haj, Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong bersama pegawai-pegawai Daerah Polis Temburong dan anggota balai. 

Isi perbincangan yang dibangkitkan ialah perkongsian mengenai statistik jenayah dan lalulintas dan permasalahan di kawasan sempadan dan sungai yang dipercayai menjadi tempat penyeludupan barang tegahan. 

Manakala, Balai Polis Muara yang diwakili oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Muara, Penolong Penguasa Polis Percubaan (P/ASP) Hjh Nur Azhani bte Hj Johaiani telah membuat lawatan ke rumah kediaman Pemangku Ketua Kg RPN Mentiri Kawasan 1, Hj Abu Bakar bin Punggut dan Mohd Hilmy Hj Ahmad selaku Pemangku Ketua Kg RPN Kg Panchor Mengkubau. 

Dengan adanya aktiviti sedemikian, ahli PK berkesempatan untuk berkumpul dan bekerjasama dalam mewujudkan suatu suasana masyarakat yang bermaklumat mengenai kedudukan jenayah setempat dan kaedah pencegahannya. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI