GADONG, Rabu, 11 September 2024 – Penganugerahan Pingat Kerja Lama Polis merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada para warga Pasukan Polis Diraja Brunei yang telah berkhidmat selama 20 tahun.
Seramai 183 orang pegawai dan anggota pangkat rendah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menerima Pingat Kerja Lama Polis (P.K.L.P) dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat, Pasukan Polis Diraja Brunei, Gadong hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis PPDB.
Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, Pengarah-pengarah, Timbalan Pengarah, Pegawai-pegawai kanan serta para penerima-penerima pingat.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar dan kemudian majlis diteruskan dengan penyampaian pingat-pingat kepada para penerima yang disampaikan oleh tetamu kehormat.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
