GADONG, Selasa 15 Oktober 2019 – Seramai 43 orang anggota penguatkuasa yang terdiri daripada keanggotaan Jabatan Siasatan Kawalan dan Lalulintas (JSKLL), Polis Kawalan Diraja, Pasukan Gerak Khas,  Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) serta Polis Tentera, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah selesai mengikuti kursus peningkatan keupayaan penunggangan motorsikal yang berjalan selama 2 minggu. 

Kursus yang bermula pada 2 Oktober sehingga 15 Oktober 2019 itu berakhir dengan latihan persembahan daripada para pelatih berkenaan dengan tatacara mengendali dan menyelenggara motorsikal dengan lebih baik dan selamat. 

Kursus ini telah diselenggarakan sepenuhnya hasil kerjasama daripada tenaga pengajar jemputan daripada Polis Trafik Singapura. Sepanjang kursus dijalankan tumpuan adalah menjurus kepada teknik penunggang yang lebih teratur bertujuan untuk meningkatkan kemahiran pengendalian, meningkatkan pengetahuan mengenai keutamaan keselamatan dan kesedaran. 

Latihan persembahan pada petang itu meliputi kepada 3 konsep iaitu pengendalian semasa berada dalam keadaan kecemasan dan halangan, pengiringan serta teknik semasa membuat sekatan jalanraya. 

Hadir selaku tetamu kehormat menyaksikan latihan persembahan ialah Yang Mulia Awang Mohammad Zulhilmi bin Haji Omar Ali, Pengarah Jabatan Pentadbiran Am & Kewangan, PPDB.

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI