BRUNEI-MUARA, Jumaat, 31 Januari 2025 – Polis Marin (POLMAR), Jabatan Gerakan,
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya mematahkan satu percubaan
penyeludupan barang tegahan melalui perairan negara.
Dalam kejadian yang berlaku pada malam itu, sebuah bot peronda POLMAR telah
mengesan sebuah perahu mencurigakan bergerak laju tanpa menggunakan lampu,
menuju ke kawasan Kampong. Bertindak atas kecurigaan tersebut, POLMAR segera
mengejar dan menjejaki perahu tersebut.
Menyedari kehadiran bot penguatkuasa, suspek bertindak melarikan diri dengan
memasuki kawasan bawah perumahan di kawasan Kampong Ayer. Suspek
seterusnya sempat membuang muatan yang dibawa ke kawasan hutan bakau
sebelum melarikan diri.
Berikutan insiden itu, satu operasi bersepadu bersama Jabatan Kastam dan Eksais
Diraja (JKED) telah digerakkan bagi mengesan bot suspek serta kotak-kotak yang
dibuang.
Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, beberapa kotak yang ditinggalkan suspek telah
ditemui. Siasatan lanjut mendapati kotak-kotak tersebut mengandungi barangan
tegahan iaitu 1000 katon rokok berlainan jenis. Kesemua barang tegahan telah
diserahkan kepada pihak JKED untuk tindakan lanjut.
Polis Marin akan terus mempergiatkan rondaan serta operasi bagi membanteras
sebarang aktiviti jenayah yang menggunakan perairan negara. Orang ramai juga
diseru untuk memberikan kerjasama dengan melaporkan sebarang kegiatan yang
mencurigakan demi memastikan keselamatan dan keamanan perairan Negara Brunei
Darussalam terus terpelihara.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI