Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KES CURI KABEL BALAI POLIS KUALA BELAIT BERJAYA MENAHAN EMPAT ORANG SUSPEK

KUALA BELAIT, Rabu 22 Januari 2025 – Empat orang suspek telah berjaya ditahan oleh anggota Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik Unified National Networks (UNN) di kawasan Kampung Sungai Duhon, Kuala Belait, pada 13 Januari 2025. 

Tindakan pantas pihak Balai Polis Kuala Belait yang menjalankan siasatan segera di tempat kejadian serta rondaan berterusan telah membuahkan hasil. Anggota dari Ibu Pejabat Daerah Polis Kuala Belait menemui aktiviti mencurigakan di kawasan hutan berhampiran Pantai Kuala Belait. 

Hasil pemeriksaan mendapati empat orang suspek dalam keadaan mencurigakan, di mana tiga daripada mereka didapati sedang membakar kabel yang disyaki dicuri. Kesemua suspek, terdiri daripada lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 30 tahun, telah ditahan. 

Para suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan akan dihadapkan ke mahkamah untuk pendakwaan. DSP Dennie Adli Bin Hj Sulaiman, Pegawai Jenayah Daerah Polis Kuala Belait, menyatakan bahawa "Kebelakangan ini, laporan kes kecurian kabel semakin meningkat di balai-balai polis di Daerah Kuala Belait, dan usaha-usaha pencegahan giat dijalankan." 

PPDB menggesa orang ramai untuk berwaspada dan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan bagi membendung dan mencegah jenayah ini daripada berleluasa. Pemilik kedai besi buruk juga diingatkan bahawa menerima barangan curi adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 411, Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman penjara selama tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali. 


Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI 

Attachments