Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

UPACARA ISTIADAT PENGANUGERAHAN BENDERA PANJI-PANJI PERIBADI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

GADONG, Sabtu 18 Januari 2025 –Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan mengurniakan Bendera Panji-Panji Peribadi kepada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), dalam satu Upacara Istiadat gilang-gemilang dan penuh bersejarah yang diadakan di Padang Kawad Besar, Pusat Latihan Polis (PLP), Gadong. 


Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Komandan Polis Wanita. 

Turut hadir ke Istiadat tersebut adalah, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana dan Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Il 

Selain itu, Timbalan Menteri, Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan wakil pasukan polis termasuk mantan-mantan Pesuruhjaya Polis, mantan-mantan Pegawai dan juga Anggota PPDB juga turut hadir, menandakan satu peristiwa penting dalam sejarah PPDB. 

Sejurus keberangkatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menerima tabik Hormat Diraja dan diikuti dengan memeriksa perbarisan Kawalan-kawalan kehormatan dan kontinjen-kontinjen Pasukan PPDB. Kontinjen-kontinjen perbarisan berkenaan melibatkan jumlah keseluruhan perbarisan seramai 518 anggota polis dari jabatan-jabatan dan formasi-formasi di dalam PPDB di bawah Pegawai Pemerintah Perbarisan, Penguasa Polis Pengiran Farid Mahader bin Pengiran Haji Matzin. 

Setelah memeriksa perbarisan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya dijunjung bagi Penganugerahan Bendera Panji-Panji Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang diikuti dengan menepung tawar dan disusuli dengan laungan ‘Allahu Akbar’ diketuai oleh Pegawai Pemerintah Perbarisan. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kemudian berkenan mengurniakan Titah, yang mana penganugerahan Bendera Panji-Panji Peribadi tersebut adalah pengiktirafan kepada seluruh pegawai dan anggota PPDB diatas khidmat jasa bakti, komitmen, penat lelah serta dedikasi yang telah ditunjukkan dalam memikul dan melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebagai sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang yang utama di negara ini. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga menekankan "Pasukan Polis untuk sentiasa menunjukkan etika kerja yang baik, berdisiplin, berintegriti dan profesional dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan”. 
Acara diteruskan dengan bacaan ikrar Taat Setia PPDB oleh semua warga pasukan yang hadir dan diketuai oleh Pemangku Timbalan Pengarah Gerakan, Penguasa Kanan Polis Haji Hamri Aslan bin Haji Abu Hanafiah yang diikuti dengan tiga kali Daulat untuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Seterusnya, bacaan Doa Selamat oleh Pengerusi Badan Ugama Islam (BUI) PPDB, Timbalan Penguasa Polis Aimi Safwan bin Zalidin. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja yang lain kemudian berangkat ke Dewan Bankuet Mes bagi Majlis Santap Pagi. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, kemudiannya dijunjung untuk menandatangani lembaran kenangan dan juga dijunjung untuk menerima Pesambah. 

Setelah itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja yang lain dijunjung untuk sesi bergambar bersama Pemangku Pesuruhjaya Polis, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pengarah-Pengarah dan Pegawai-Pegawai Ahli Jawatankuasa Tertinggi Upacara Istiadat tersebut. 

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyaksikan Pameran Polis di Dewan Bankuet Mes yang memaparkan sejarah PPDB iaitu Sejarah Panji-Panji PPDB, Buku Sejarah PPDB, Alat-alat teknologi yang digunakan dalam meningkatkan kapabiliti penyiasatan dan kawalan dan penglibatan masyarakat. Majlis diakhiri dengan beramah mesra bersama jemputan-jemputan. 

Penyerahan Bendera Panji-Panji Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia, akan dapat memperkukuhkan lagi jati diri serta membakar semangat warga Pasukan Polis Diraja Brunei untuk terus setia dan berbakti kepada raja, bangsa dan negara. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 
IBU PEJABAT POLIS 
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments