TEMBURONG, Rabu 1 Januari 2024 – Balai Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menahan sebuah kereta yang membawa barang-barang tegahan di jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddin (SHOAS).
Setelah Balai Polis Temburong menerima maklumat dari orang awam pada sekitar tengahari mengenai sebuah kereta mencurigakan dan disyaki membawa barang yang ditegah, Peronda Balai kemudian dikerahkan untuk menuju ke jambatan SHOAS dan berjaya menemui kereta tersebut yang dalam perjalanan menuju ke Bandar Seri Begawan.
Hasil dari maklumat tersebut, pihak PPDB telah berjaya menahan minuman keras sebanyak 456 tin dan 60 botol serta 100 katon rokok. Pemandu, seorang warga tempatan dan tidak bekerja serta kereta berkenaan ditahan dan seterusnya dibawa ke Balai Polis Temburong untuk tindakan selanjutnya.
PPDB mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang awam atas bantuan dan maklumat yang telah membawa kepada kejayaan rampasan barang-barang tegahan tadi. Kejayaan ini menekankan peranan penting kerjasama masyarakat dalam memastikan keselamatan awam. Keprihatinan dan komitmen anda dalam melaporkan aktiviti mencurigakan sangat membantu dalam usaha bersama untuk membanteras jenayah dan melindungi masyarakat.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI