Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KEJOHANAN LIGA BOLASEPAK ANTARA CAWANGAN

GADONG, Sabtu 9 November 2024 – Majlis Sukan Polis Diraja Brunei (MSPDB) telah menganjurkan Perlawanan Akhir Kejohanan Liga Bolasepak bagi cawangan-cawangan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis Gadong. Liga ini telah berlangsung sejak 15 Oktober 2024, dengan perlawanan diadakan di padang-padang bolasepak di keempat-empat daerah seluruh negara.

Hadir selaku tetamu kehormat, Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Awang Mohd Irwan bin Haji Hambali.

Antara yang hadir menyaksikan perlawanan akhir berkenaan, Pengerusi-pengerusi Cawangan PPDB, Pegawai-pegawai dan juga anggota PPDB.

Perlawanan akhir berkenaan menyaksikan pertemuan antara Pasukan A1 dari Cawangan A dan Pasukan B1 dari Cawangan B. Johan bagi perlawanan yang sengit tersebut adalah Pasukan A1 dengan jaringan penalti 5-4, setelah perlawanan terikat 0-0 selepas masa penuh.

Selesai perlawanan, Tetamu Kehormat, Pesuruhjaya Polis PPDB Dato Paduka Seri Haji Awang Mohd Irwan bin Haji Hambali telah berkesudian menyampaikan hadiah Penjaring Terbanyak (8 Gol) APO L/CPL 6613 Md Sharizan Bin Adam dari Pasukan C1. Manakala Anugerah Pasukan Fairplay (Fairplay Team Award) disandang oleh Pasukan D2. Seterusnya Tetamu Kehormat menyampaikan pingat dan piala kepada Juara, Naib Juara dan Pasukan E2 yang memenangi tempat ketiga.

MSPDB mengucapkan tahniah kepada semua pasukan yang telah menunjukkan semangat kesukanan tinggi dan usaha yang cemerlang sepanjang kejohanan ini. Kejohanan Liga Bolasepak ini bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara warga PPDB tetapi juga untuk meningkatkan kecergasan fizikal dan semangat berpasukan. Diharapkan kejohanan ini akan terus menjadi pemangkin kepada usaha memupuk kerjasama yang erat dan nilai-nilai murni dalam kalangan warga polis di masa akan datang.



Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments