Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MAJLIS PELANCARAN PELAN STRATEGIK PPDB 2023-2027

GADONG, Isnin 28 Oktober 2024– Seramai 600 orang terdiri dari warga Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menghadiri, Majlis Pelancaran Pelan Strategik PPDB 2023-2027. Acara tersebut diselajurkan dengan penyerahan Buku Pelan Strategik PPDB 2023-2027 kepada Pengarah Jabatan dan Ketua Formasi PPDB.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis PPDB.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, pengarah-pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, keanggotaan, kakitangan awam PPDB dan wakil dari Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS).

Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan perasmian Pelan Strategik PPDB 2023-2027, oleh tetamu kehormat. Dalam ucapan tersebut, beliau menyatakan 'Pelan strategik ini akan mengembangkan Pasukan Polis Diraja Brunei dalam tempoh lima tahun untuk memastikan negara dan rakyat dalam keadaan selamat dan terjamin.' Dan seterusnya, beliau juga menyeru semua warga PPDB agar sentiasa komited dan berkerjasama dalam mencapai matlamat strategik PPDB.

Pelan komprehensif ini, yang bertemakan 'Pasukan untuk masa depan' menggariskan usaha & komitmen PPDB untuk penambahbaikan dan membawa kepolisan ke era baru. Antara matlamat pelan ini adalah untuk meningkatkan kadar penyelesaian kes bagi jenayah siber dan jenayah tradisional melalui latihan lanjutan, penggunaan teknologi terkini, dan strategi kepolisan berasaskan komuniti. Dengan sasaran prestasi tahunan yang jelas serta pelan tindakan yang mantap.

Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS), yang bekerjasama dalam pembangunan pelan strategik itu, turut diberi penghormatan dengan tanda penghargaan yang disampaikan oleh Tetamu Kehormat kepada Dr Diana Cheong, Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS).

Para hadirin bagi acara tersebut turut menonton video korporat yang menggambarkan perjalanan membangunkan pelan strategik bersama dan memperincikan strategi teras dan pelan tindakan yang akan mengemudi usaha PPDB dari 2023 hingga 2027. Seterusnya, ASP Pg Hj Yusra bin Pg Hj Mohammad, selaku Sekretariat Kumpulan Kerja Jawatankuasa Pelan Strategik, memberikan pembentangan mengenai inisiatif strategik serta sasaran prestasi yang terkandung dalam pelan tersebut. Majlis kemudian diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Imam Surau Polis Gadong.

 

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments