TEMBURONG, Khamis 26 September 2024 - Pada hari Rabu petang (25 September 2024), anggota-anggota Balai Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya membanteras kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan.
Berdasarkan dari maklumat yang diperolehi, pihak PPDB telah menahan dua buah kereta bersama 3 orang lelaki yang disyaki membawa barang tegahan melalui Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (SHOAS), dalam perjalanan menuju ke Brunei-Muara.
Barang-barang tegahan yang berhasil ditahan semasa tangkapan berkenaan adalah 25 botol minuman keras, 43 katon minuman keras tin dan 100 katon rokok, yang mana dipercayai telah diseludup dari negara jiran. Kes ini telah dilaporkan di Balai Polis Bangar untuk penyerahan siasatan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei dan Bahagian Penguatkuasa Ugama, Cawangan Daerah Temburong juga telah dimaklumkan bagi tindakan selanjutnya.
Pihak PPDB ingin mengingatkan orang ramai agar jangan melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti jenayah dan melanggar undang-undang negara yang hanya mendatangkan kerugian pada diri sendiri dan keluarga. PPDB akan sentiasa bergiat aktif dalam usaha pembanterasan dan pengekangan terhadap kegiatan-kegiatan penyeludupan barangan tegahan di negara ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI