BRUNEI-MUARA, Sabtu, 14 September 2024 - Pada 12 September 2024 Polis Marin (PolMar), Pasukan Polis Diraja Brunei PPDB, telah menjalankan operasi sepadu bersama Agensi Penguatkuasa Undang-Undang terdiri dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei (JKED) dengan tujuan untuk mencegah sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang di perairan Negara Brunei Darussalam khususnya Teluk Brunei.
Pada 13 September 2024 sekitar waktu subuh hasil pemantauan awal dari Pasukan Operasi telah mengesan dua buah perahu sedang menjalankan aktiviti mencurigakan di perairan Brunei dan kemudiannya berhasil menemui dua buah perahu tersebut tanpa pemandu yang membawa muatan dipercayai barang-barang tegahan berada di perairan sungai hutan bakau berhampiran kawasan letak kereta penduduk Perumahan Kampong Sungai Bunga.
Pemandu perahu dipercayai telah melarikan diri setelah menyedari kehadiran Pasukan Operasi. Kedua - dua perahu kemudiannya dibawa ke Pangkalan Ibu Pejabat Polis Marin bagi siasatan lanjut.
Hasil siasatan mendapati beberapa karton minuman keras sebanyak 385 tin telah berjaya dirampas. Kesemua barang tegahan termasuk perahu diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk siasatan lanjut.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI