Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

BAHAGIAN SIASATAN JENAYAH SIBER PPDB MENINGKATKAN USAHA KESEDARAN AWAM MENGENAI PENIPUAN DALAM TALIAN

​GADONG, Selasa 6 Ogos – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mempertingkatkan usaha mereka dalam memberikan kesedaran awam mengenai penipuan dalam talian, yang kini kian menunjukkan peningkatan kes-kes yang disiasat oleh pihak PPDB.

Melalui beberapa inisiatif BSJS dan kerjasama bersama pihak berkepentingan, ceramah dan jerayawara, yang dimulakan dari bulan Januari 2024 hingga kini rancak diadakan sekolah-sekolah, pejabat-pejabat kerajaan dan swasta, dan pihak masyarakat di seluruh negara.

Ceramah dan jerayawara yang diadakan bertujuan untuk melengkapkan orang ramai dengan pengetahuan dan alat yang diperlukan untuk mengenal pasti dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian. Dengan kerjasama pihak sekolah, organisasi, dan kumpulan komuniti, bahagian ini telah memastikan mesej mereka sampai kepada audiens yang luas dan pelbagai.

Sejak bermulanya inisiatif kesedaran ini, BSJS telah berjaya berinteraksi dengan ratusan individu, tua dan muda. Usaha bahagian ini telah memberi impak yang sangat besar di sekolah-sekolah, di mana golongan muda dididik tentang kepentingan keselamatan dalam talian dari usia awal. Pejabat awam dan swasta dan kumpulan masyarakat juga mendapat manfaat daripada sesi yang disesuaikan yang menangani ancaman khusus yang relevan dengan ahli mereka.

Menurut statistik jenayah yang dikongsikan oleh BSJS, kes penipuan adalah kes yang terbanyak dilaporkan di negara ini dan 75 peratus dari kes penipuan tersebut adalah kes penipuan dalam talian. Tren ini dijangka meningkat, di mana negara jiran dan serantau juga telah menunjukkan tren meningkat bagi kes penipuan dalam talian.

BSJS merancang untuk meneruskan dan memperluaskan lagi aktiviti-aktiviti kesedaran ini pada masa akan datang dan menyarankan mana-mana pihak pejabat awam atau swasta termasuklah pesara-pesara untuk mengadakan sesi kesedaran bagi pekerja-pekerja mereka.





Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments