Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MAJLIS CERAMAH SAMBUTAN ILAL HIJRAH 1446 DAN DOA KESYUKURAN

​GADONG, Khamis 18 Jul – Badan Ugama Islam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengendalikan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1446 diselajurkan dengan Doa Kesyukuran bagi Jemaah Haji Pasukan Polis Diraja Brunei di Surau Polis Gadong, PPDB. 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis PPDB dan Isteri. 

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin dan Isteri, Pengarah-pengarah, Timbalan pengarah, Pegawai-pegawai kanan, Pegawai-pegawai, keanggotaan dan kakitangan awam PPDB. 

Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar. 

Majlis diserikan lagi dengan ceramah bertajuk ‘Hijrah Pencetus Integriti Terpuji’ yang disampaikan oleh penceramah undangan Yang Mulia Ahmad Muzhafar bin Hj Marshidi Penolong Pegawai Perkembangan Ugama Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Ugama Negara Brunei Darussalam. 

Antara Intipati ceramah tadi mengisarkan tentang peristiwa turunnya wahyu pertama (Surah Iqra), dan bagaimana ianya berhubungkait dengan perjalanan hidup (penghijrahan) setiap Muslimin. Ianya hendaklah sentiasa berpandukan kepada iman dan taqwa serta diiringi dengan ilmu, maka ianya akan membantu kita untuk menjalani Hijrah untuk diri sendiri dan juga komuniti di negara ini, iaitu sentiasa berusaha untuk menjadi seorang yang berintegriti dan bertanggungjawab, kerana apapun tugasan yang kita lakukan semuanya adalah kerana Allah SWT. 

Kemudiannya majlis diteruskan dengan Dikir Marhaban bagi meraikan Jemaah Haji PPDB, penyampaian cenderhati dari Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) dan penyampaian cenderamata penghargaan kepada penceramah jemputan. Seterusnya diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran kepulangan Jemaah Haji PPDB dan Doa kesyukuran Sempena Hari Keputeraan KDYMM ke 78 tahun.







Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments