GADONG, Ahad 18 Jun - Sempena Hari Raya Aidiladha bagi Tahun 1445 Hijrah /
2024 Masihi, Badan Ugama Islam (BUI), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) juga
telah mengungkayahkan Majlis Ibadah Korban PPDB yang berlangsung di Surau Polis
Gadong, Pasukan Polis Diraja Brunei pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pengagihan daging-daging
korban pada majlis berkenaan ialah Pesuruhjaya Polis (CP) PPDB, Yang Mulia Dato
Paduka Seri Awang Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.
Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) PPDB, Yang Mulia Dato Seri
Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, para pengarah dan timbalan pengarah jabatan,
ketua-ketua formasi, pegawai pemerintah, pegawai-pegawai kanan serta anggota dan
warga kakitangan awam PPDB.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh
Imam Surau Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu
Bakar dan kemudiannya diteruskan dengan pengagihan daging-daging korban oleh
tetamu kehormat kepada para penerima. Majlis tersebut diakhiri dengan bacaan Doa
Selamat.
Pada tahun ini, seramai 17 orang peserta menyertai ibadah korban yang melibatkan
sebanyak 2 ekor sapi dan 3 ekor kambing telah dikorbankan. Sebahagian daging
ibadah korban sunat tersebut telah diagihkan kepada 53 orang Asnaf di bawah Mukim
Gadong A dan Berakas B.
Petikan Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Al-Tirmizi, daripada Aisyah
Radiallahhuhanha mengenai kelebihan ibadah korban, bahawa Nabi bersabda ;
‘Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha)
yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (Binatang korban).
Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan
kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah
Subahanahu Wata’ala sebelum ia jatuh kebumi, maka bersihkan jiwa kamu dengan
korban.’
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI