Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

SERBU KHIDMAT KESIHATAN TANPA KEBENARAN

SERIA, Ahad 25 Sep – Sebuah rumah kediaman disyaki menjalankan khidmat rawatan dan menjual ubat-ubatan perubatan kesihatan yang bercanggah dengan undang-undang perubatan di negara ini diserbu oleh beberapa agensi pihak penguatkuasa semalam. 

Serbuan berkenaan telah dikendalikan pada 24 September 2022 sekitar jam 10.30 pagi bertempat di kawasan Jalan Perakong, Seria, Daerah Belait. 

Kolaborasi operasi tersebut terdiri daripada pegawai, keanggotaan dan ahli-ahli daripada Ibu Pejabat Daerah Polis Belait, Balai Polis Seria, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) serta daripada bahagian Penguatkuasa Kesihatan, Kementerian Kesihatan. 

Semasa serbuan dijalankan telah berjaya menahan seorang suspek lelaki, penduduk tetap berumur 65 tahun beserta sejumlah ubatan-ubatan serta peralatan yang dijual bagi tujuan perubatan kesihatan dan dipercayai tidak mempunyai sebarang kebenaran atau lesen dari mana-mana pihak berwajib di negara ini. 

Turut ditemui dan dirampas ialah sejumlah botol-botol yang berisi dipercayai mengandungi minuman keras. 

Suspek serta kesemua peralatan serta ubat-ubatan dirampas untuk dijadikan bahan bukti siasatan. 

Suspek akan berdepan dengan pertuduhan di bawah Akta Perintah Ubat 2007, Akta Pengamal Perubatan dan Doktor Gigi Penggal 112 dan Seksyen 146 (1) (d) Perintah Eksais 2006. 



Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​


Attachments