Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KEMALANGAN MERAGUT JIWA

BRUNEI MUARA, Ahad 25 Sep - Balai Polis Kampong Ayer, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan telah berlaku satu kejadian kemalangan jalan raya semalam dan telah meragut nyawa salah seorang daripada penumpang. 

Kejadian tersebut telah dilaporkan melalui talian kecemasan 993 pada 25 September 2022 jam 12.42 tengah malam yang berlaku di kawasan Bukit Saeh, Jalan Lumapas, Daerah Brunei dan Muara. 

Hasil daripada siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan tersebut melibatkan dua (2) buah kenderaan dan seorang penumpang telah didapati tidak sedarkan diri dipercayai akibat daripada implikasi rempuhan kemalangan. 

Hadir semasa kejadian tersebut adalah keanggotaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi membantu mengeluarkan kesemua mangsa daripada kenderaan mereka. Ahli Paramedik yang bertugas turut mengesahkan bahawa penumpang yang tidak sedarkan diri itu telahpun meninggal dunia di tempat kejadian. 

Sejurus selepas itu, kesemua 5 mangsa kemalangan segera dikejarkan ke Hospital RIPAS bagi rawatan kesihatan dan pemeriksaan lanjut. 

Hasil siasatan pihak polis mendapati, mangsa yang meninggal dunia (penumpang) merupakan seorang perempuan warganegara tempatan berumur 53 tahun telah mengalami kecederaan yang teruk di bahagian kepala, tangan dan belakang badan. Manakala mangsa - mangsa kemalangan yang lain adalah dalam keadaan stabil. 

Walau bagaimanapun, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan dan kematian. 

Di kesempatan ini, PPDB menegaskan kepada orang ramai terutama pengguna-pengguna jalanraya agar sentiasa berhati-hati semasa memandu, menitikberatkan aspek keselamatan yang melibatkan kawalan had laju, pemakaian tali pinggang keselamatan, sentiasa peka dan bertolak ansur lebih-lebih lagi memandu sewaktu di malam hari. 

Jangan memandu dalam keadaan dipengaruhi dengan ubat-ubatan atau sebagainya kerana boleh mendatangkan mengantuk dan kelalaian yang boleh sahaja mengakibatkan kemalangan berlaku.



Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​


Attachments