Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

OPERASI SEPADU TASKFORCE COVID-19

LUMAPAS, Isnin 15 Ogos - Sebanyak 2150 katon rokok dengan pelbagai jenama telah berjaya dirampas berikutan daripada rondaan Operasi Sepadu Task Force Covid-19 yang telah dijalankan semalam 14 Ogos 2022 di kawasan tapak perindustrian, Kg Lumapas, Daerah Brunei Muara. 

Operasi Sepadu tersebut adalah merupakan gabungan keanggotaan daripada Pasukan Simpanan Polis ‘C’ Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan juga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB). 

Menurut siasatan awal, insiden penemuan berkenaan tercetus bilamana pasukan peronda telah mengesan keberadaan 3 buah kenderaan yang mencurigakan ada diletakkan di kawasan tapak perindustrian tersebut. Sejurus menyedari akan kehadiran pasukan peronda, kelihatan kelibat beberapa individu (suspek) telah mengambil tindakan melarikan diri lalu menuju memasuki kawasan sempadan negara jiran. 

Pemeriksaan segera dijalankan ke atas 3 buah kenderaan tersebut dan telah menemukan beberapa kotak bungkusan mencurigakan dan dipercayai ianya adalah barangan-barang tegahan. 

Pemeriksaan lanjut kemudian dijalankan di kawasan persekitaran lokasi lalu menemukan lagi sejumlah bungkusan kotak mencurigakan diletakkan di kawasan permukaan tanah berdekatan pesisir anak sungai dipercayai cuba untuk diseludup masuk ke negara ini. 

Balai Polis Kg Ayer, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan pihak penguatkuasaan daripada Jabatan Kastam dan Eksais (JKED) segera dihubungi bagi menjalankan tindakan dan siasatan mengenainya. 

Kesemua barang rampasan termasuk penemuan kenderan-kenderaan suspek diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut. 

PPDB bersama agensi penguatkuasa undang-undang yang lain akan terus berusaha memerangi jenayah rentas sempadan seperti ini tanpa sebarang kompromi dan berjuang agar aktiviti-aktiviti sedemikian dibenteras hingga ke akar umbi.



Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments